Friday, February 1, 2008

LIDAH PENGARANG AKHBAR CINA, LIANHE ZAOBAO, TENTANG PENAHANAN ISD TERBARU, KELMARIN

BIARKAN AGAMA TERUS MEMBAWA MANFAAT BAGI MASYARAKAT
JABATAN -CyBerita(1 Feb 2008)

Keselamatan Dalam Negeri (ISD) telah memberkas dua lelaki Muslim radikal yang terlibat dalam kegiatan pengganasan dan mengeluarkan Perintah Sekatan ke atas seorang lagi baru-baru ini.

Insiden terbaru itu pula menyusuli penahanan seorang lagi lelaki Muslim yang mempunyai fahaman radikal pada Februari tahun lalu.

Penyelidikan telah menunjukkan golongan belia yang menjadi radikal dengan sendiri melalui risalah, video dan Internet mungkin menyimpan hasrat untuk ke luar negara bagi menjalani latihan dan menjalankan kegiatan sabotaj.

Malah ada sebahagian daripada mereka rela juga mati syahid.
Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengeluarkan kenyataan menyokong langkah yang diambil ISD dan berharap ketiga-tiga lelaki itu akan berubah dan pulang ke pangkal jalan.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, juga telah berkata pihak berkuasa mahu mereka yang ditahan menyedari bahawa pengganasan dan fahaman radikal tidak sihat dan Singapura tidak boleh menyokong fahaman sedemikian.

Namun beliau tetap akur ia merupakan masalah jangka panjang dan satu cabaran penting bagi rakyat Singapura sentiasa berwaspada dan menangani isu tersebut sebagai satu masyarakat.
Kes ketiga-ketiga belia dengan fahaman radikal itu dapat dibongkar dalam tempoh kurang setahun menunjukkan kumpulan-kumpulan ekstremis yang cuba menyebarkan pengganasan masih merebak dan ia sukar untuk dibendung.

Keharmonian masyarakat harus diraih menerusi keharmonian agama dan rakyat Singapura harus berwaspada ketika waktu damai dan menggalak peningkatan fahaman antara berbilang kaum, agama dan budaya bagi mengukuhkan kesepaduan negara, supaya mereka yang mempunyai agenda tidak dapat mempengaruhi kita.

Harus ditekankan bahawa pengganas tidak dihadkan kepada satu bangsa atau agama.
Oleh itu, kekuatan untuk menjaga keamanan dan damai mesti datang daripada rakyatnya dan meliputi semua lapisan masyarakat, dengan orang ramai mengambil inisiatif sendiri untuk berbuat demikian.

Dengan itu, langkah bertepatan ISD itu diperlukan, juga seperti usaha berterusan pemerintah untuk menggalak keharmonian agama, seperti menganjurkan dialog-dialog agama dan perbincangan damai.
Yang paling penting sekali, sedang kita menjadi lebih berwaspada bagi membendung golongan yang mahu memperguna agama untuk menipu dan menyelewengkan belia kita, kita harus menyokong semua kegiatan agama yang berfaedah dan mempromosi semangat keihsanan setiap agama.
Di Singapura, adalah biasa jika kita melihat gereja dan kuil dibina bersebelahan.
Apabila tsunami di Lautan Hindi melanda beberapa tahun lalu, pelbagai kumpulan agama telah juga berganding bahu untuk berdoa dan mengumpul dana untuk mangsa bencana itu.
Semua ini menunjukkan bahawa asas keharmonian agama yang dipegang tidak cetek.
Beberapa kumpulan agama lain yang tidak mempunyai profil yang tinggi, juga secara senyap-senyap menyumbang untuk manfaat masyarakat umum.

Kita harus jelas bahawa sifat murah hati dan kebajikan adalah prinsip universal setiap agama dan tidak terhad kepada satu agama sahaja.
Sedang kegiatan agama yang dirancang harus digalak, mereka perlu mengamalkan disiplin dan ketelusan sewajarnya dalam perniagaan dan kewangan.

Untuk membendung pengganasan dilakukan atas nama agama dan membina masyarakat aman damai, berharmoni dan penyayang, selain membangunkan pertahanan psikologi yang kukuh, memberi kelonggaran kepada kumpulan agama menebar semangat kebajikan dan membenarkan kegiatan agama menjadi satu kuasa yang akan bermanfaat bagi masyarakat adalah satu pendekatan yang perlu diiktiraf.